Berita Terkini

40,000 UNIT RESIDENSI PRIHATIN DIBANGUNKAN DI KL, PUTRAJAYA - BERITA HARIAN, 22 FEBRUARI 2021
22 February 2021

"Kementerian Wilayah Persekutuan menyasarkan pembinaan 40,000 unit rumah Residensi Prihatin berharga RM200,000 ke bawah di Kuala Lumpur dan Putrajaya, khusus untuk membolehkan golongan B40 memiliki rumah pertama. Kita memberi keutamaan kepada penjawat awam dan mereka yang baru mula untuk membina keluarga terutama petugas barisan hadapan sama ada yang tinggal atau bekerja di Wilayah Persekutuan, selain akan turut mempertimbangkan mereka yang berdekatan seperti di Bangi dan Cyberjaya.

Annuar berkata, bagi membolehkan projek di bawah program pembasmian kemiskinan dan peningkatan taraf hidup warga Wilayah Persekutuan dapat dilaksanakan dengan berkesan, pihaknya juga akan berunding dengan pihak bank bagi membolehkan pembeli mendapat pembiayaan pinjaman perumahan 100 peratus.

"Ini akan membantu pembeli terutama pasangan muda yang tidak mampu untuk membayar deposit 10 peratus bagi memiliki kediaman ini.

"Selain itu, konsep pembelian dengan menjadi penyewa terlebih dulu juga akan dilaksanakan, yang mana selepas menjadi penyewa dengan bayaran sewa yang rendah dalam tempoh lima tahun contohnya, ia kemudian akan ditukar kepada bayaran sebagai pembeli dengan bayaran bulanan yang lebih tinggi," katanya.”

RESIDENSI PRIHATIN PROJEK RUMAH MEWAH, HARGA MAMPU MILIK- ASTRO AWANI, 22 FEBRUARI 2021
22 February 2021

" Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) menyasarkan sebanyak 40,000 unit rumah menerusi Projek Residensi Prihatin akan dibangunkan membabitkan tiga wilayah iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, menerusi sasaran itu, sebanyak 20,000 unit akan dibina di Kuala Lumpur, 15,000 unit di Putrajaya manakala 5,000 unit lagi di Labuan.

Apabila saya dipertanggungjawab sebagai Menteri Wilayah Persekutuan, antara perkara awal yang saya lihat secara mendalam adalah masalah sejauh mana rakyat dapat kemudahan perumahan.

Saya dapati, walaupun banyak program termasuk Residensi Wilayah dibuat, tetapi masih ramai yang tidak mampu (membelinya) dan ada yang menyebut sesetengah rumah yang dibina hanya mampu lihat, tidak mampu dimiliki.

Oleh itu, kementerian sentiasa prihatin dengan keperluan perumahan dalam kalangan rakyat dan kami mengambil pendekatan proaktif dengan menyediakan rumah mampu milik bersasar mengikut kategori pendapatan.

"Sehubungan itu, sasaran untuk membina rumah mampu milik itu juga diambil kira melalui jumlah permintaan orang ramai khususnya mereka yang tidak berpeluang membeli rumah bernilai RM300,000 yang diperkenalkan kerajaan sebelum ini," katanya kepada Astro AWANI di sini, baru-baru ini.”

10,000 UNIT RUMAH UNTUK BELIA DIBINA DI BAWAH PROGRAM RESIDENSI PRIHATIN- FREE MALAYSIA TODAY, 24 DISEMBER 2020
15 February 2021

"Kementerian Wilayah Persekutuan akan membangunkan 10,000 unit rumah mampu milik untuk golongan belia pada harga di bawah RM200,000 seunit, menerusi program Residensi Prihatin, kata Menterinya Annuar Musa.

Beliau berkata, ia merupakan pusingan pertama program berkenaan dan 1,000 unit akan dibina di Labuan, 3,000 unit di Putrajaya dan 6,000 unit di Kuala Lumpur.

Kerja pembinaan dijangka bermula pada suku kedua 2021 dan akan siap dalam tempoh 24 bulan jika menggunakan kaedah teknologi modular atau 36 bulan melalui kaedah konvensional."