Soalan Lazim


Apakah itu RESIDENSI PRIHATIN KELUARGA MALAYSIA?
Ia merupakan rumah mampu milik untuk golongan berpendapatan rendah yang lahir, menetap dan bekerja di Wilayah Persekutuan.

Apakah ciri-ciri utama Residensi Prihatin Keluarga Malaysia?
Residensi Prihatin Keluarga Malaysia merupakan program rumah mampu milik yang hanya tertumpu di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sahaja.

Berapakah bilangan Residensi Prihatin Keluarga Malaysia yang akan dibina?
Dijangka sebanyak 10,000 unit Residensi Prihatin Keluarga Malaysia dirancang untuk pembinaan yang akan datang di Wilayah Persekutuan dalam tempoh masa tiga (3) tahun (2021 –2024).

Apakah jenis rumah dan ditawarkan di bawah Residensi Prihatin Keluarga Malaysia?
Residensi Prihatin Keluarga Malaysia menawarkan rumah yang mempunyai tiga (3) bilik tidur, dua (2) bilik air, dapur, ruang tamu, ruang makan dan yard serta dalam bentuk rumah berstrata.

Siapa yang layak memohon Residensi Prihatin Keluarga Malaysia?
Warganegara Malaysia berumur 18 tahun ketika permohonan dibuat dan dilahirkan, menetap atau bekerja di Wilayah Persekutuan. Pendapatan kasar pemohon tidak melebihi RM5,000 sebulan.

Adakah pemohon yang bujang layak untuk memohon Residensi Prihatin Keluarga Malaysia?
Ya, layak, asalkan pendapatan isi rumah pemohon RM5,000 sebulan dan ke bawah.

Adakah pesara layak memohon untuk membeli unit Residensi Prihatin Keluarga Malaysia?
Boleh. Tertakluk kepada syarat dan peraturan yang sedang berkuatkuasa dari semasa ke semasa.

Berapakah bilangan projek yang boleh dipohon oleh pemohon?
Pemohon hanya dibenarkan untuk memohon 1 projek sahaja.

Bagaimanakah untuk memohon Residensi Prihatin Keluarga Malaysia?
Permohonan boleh dibuat secara atas talian (online) di https://residensiprihatin.kwp.gov.my. Pemohon perlu memastikan alamat emel adalah tepat kerana semua notifikasi akan dihantar melalui emel.

Sekiranya pemohon telah memiliki rumah di Wilayah Persekutuan atau di negeri lain, adalah pemohon masih layak untuk memiliki unit Residensi Prihatin Keluarga Malaysia?
Tidak layak, kerana Residensi Prihatin Keluarga Malaysia hanya untuk pemohon yang masih tidak memiliki rumah.

Adakah sebarang pembiayaan disediakan untuk pembelian unit Residensi Prihatin Keluarga Malaysia?
Pembiayaan adalah urusan pemohon sendiri.

Bolehkah unit Residensi Prihatin Keluarga Malaysia yang dibeli dan kemudiannya dijual?
Residensi Prihatin Keluarga Malaysia mensyaratkan sekatan penjualan selama 10 tahun dari tarikh pertama Perjanjian Jual Beli ditandatangani.

Bolehkah dokumen sokongan dihantar melalui alamat emel Residensi Prihatin Keluarga Malaysia?
Tidak boleh. Pemohon perlu memuat naik dokumen sokongan seperti yang disyaratkan ke dalam Portal Residensi Prihatin Keluarga Malaysia.

Penyata gaji pemohon yang terkini sebulan sahaja atau 3 bulan untuk dikemukakan kepada pihak Urusetia?
Pemohon perlu mengemukakan penyata gaji bagi 3 bulan.

Jika saya menyewa sekarang, adakah saya perlu melampirkan salinan bil elektrik dan salinan bil air?
Ya, pemohon perlu melampirkan bil elektrik dan bil air atau dokumen lain sebagai bukti kediaman tersebut.

Bagaimanakah cara untuk melengkapkan Surat Akuan Sumpah?
Pemohon perlu memuat turun surat akaun sumpah dari Portal Residensi Prihatin Keluarga Malaysia dan perlu ditandantangani di hadapan Hakim/Majistret atau Pesuruhjaya Sumpah.

Bolehkah saya memohon Ketua Kampung atau wakil rakyat membuat pengesahan Surat Akaun Sumpah tersebut?
Pihak Urus Setia Residensi Prihatin Keluarga Malaysia hanya menerima pengesahan oleh Hakim Mahkamah Sesyen/Majistret dan Pesuruhjaya Sumpah berdasarkan Akta Akuan Berkanun 1960 sahaja. Mana-mana pengesahan oleh badan atau individu yang tidak dinyatakan adalah tidak diterima.

Bagaimanakah untuk mengetahui status permohonan?
Pemohon boleh menyemak status permohonan melalui akaun pemohon di portal Residensi Prihatin Keluarga Malaysia.

Bolehkah pemaju membuat sebarang kutipan bagi proses permohonan Residensi Prihatin Keluarga Malaysia sebelum menandatangani Perjanjian Jual Beli?
Tidak boleh. Tiada sebarang bentuk kutipan wang boleh dilakukan oleh pemaju daripada pemohon termasuklah kutipan yuran komitmen sebelum menandatangani perjanjian jual beli kerana ia bercanggah dengan Peraturan-Peraturan Pemajuan Perumahan (Kawalan Dan Pelesenan) 1989 bagi melindungi kepentingan pembeli dan pematuhan peraturan di bawah Akta 118. Sebarang aduan berkaitan kutipan bayaran hendaklah dikemukakan terus kepada Sistem Aduan Bersepadu Jabatan Perumahan Negara di laman url: https://aduan.kpkt.gov.my/aduan-online/entry/aduanperumahan.cfm

Berapakah bayaran pertama yang perlu dikemukakan oleh pemohon?
Pemohon yang telah berjaya ditawarkan unit Residensi Prihatin Keluarga Malaysia perlu mengemukakan bayaran sebanyak 10% daripada harga unit yang ditawarkan kepada pemaju selaras dengan Perjanjian Jual Beli yang ditandatangani antara pembeli dan pemaju untuk urusan jual beli selanjutnya.

Bolehkah saya membatalkan mana-mana permohonan projek Residensi Prihatin Keluarga Malaysia bagi membolehkan saya memilih projek lain?
Pemohon boleh membatalkan sendiri permohonan untuk memilih projek lain dengan syarat status permohonan adalah Tidak Lengkap/Lengkap. (Sila klik maklumat terperinci di permohonan projek di dashboard kemudian pilih batalkan permohonan). Jika status permohonan adalah Semakan Urus setia, pemohon perlu mengemukakan emel beserta alasan untuk pembatalan projek ke alamat emel urusetiaresidensiprihatin@kwp.gov.my. Maklumat yang perlu dikemukakan adalah seperti berikut : i) Nama penuh ii) Nombor Kad Pengenalan iii) Projek yang ingin digugurkan iv) Alasan Jika pemohon telah memilih berminat dan mendapat surat tawaran, pemohon perlu berurusan dengan pemaju projek yang telah ditawarkan untuk membatalkan projek yang telah ditawarkan. Pemohon akan disenarai hitam dari memohon mana-mana projek selama 12 bulan sekiranya pembatalan dbuat melalui Urus Setia Residensi Prihatin Keluarga Malaysia.

Berapa lamakah tempoh sah laku permohonan?
Tempoh sah laku permohonan adalah 12 bulan dari tarikh dokumen sokongan lengkap dimuat naik.